1. Apakah itu Pusat Sumber Sekolah
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan pusat
perkhidmatan akses maklumat bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber
pendidikan dalam bentuk bahan cetak, bukan cetak dan digital. PSS perlu diurus
secara sistematik dan efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi
maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
2. Apakah dasar Pusat Sumber Sekolah?
Dasar Pengurusan Pusat Sumber Sekolah diwujudkan untuk memastikan Pusat
Sumber Sekolah mempunyai koleksi yang menepati piawaian dan terkini, diurus
dengan cekap dan berkesan, dan digunakan secara optimum bagi meningkatkan
kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
Strategi Pelaksanaan Dasar PSS adalah seperti berikut:
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai kemudahan fizikal dan
infrastruktur yang sesuai dan memenuhi fungsi dan peranannya.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan yang menepati
piawai dan terkini.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan dengan cekap dan berkesan
sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan oleh Guru Perpustakaan dan
Media yang menepati syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan dalam
pekeliling semasa.
• Memastikan Pusat Sumber Sekolah sentiasa meningkatkan usaha untuk
melaksanakan aktiviti penggalakan membaca dan literasi maklumat dalam
meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
3. Apakah objektif Pusat Sumber Sekolah?
• Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai format
bagi membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat yang efektif dan
pemikir yang kritis
• Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama
kepada semua warga sekolah
• Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi
maklumat, pembelajaran, penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (TMK)
• Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang
hayat
4. Apakah peranan Pusat Sumber Sekolah?
• Pusat Ilmu
• Pusat Penemuan
• Pusat Pengajaran dan Pembelajaran
• Pusat Pengajaran
• Pusat Profesional
• Pusat Hubungan Masyarakat
5. Apakah fungsi Pusat Sumber Sekolah?
• Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang
komprehensif, seimbang dan kemas kini yang selaras dengan keperluan kurikulum
dan memenuhi keperluan warga sekolah.
• Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan
individu atau kumpulan.
• Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses
carian, penghasilan dan penggunaan maklumat.
• Menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam
keadaan baik dan berfungsi.
• Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai
agensi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
6. Apakah halatuju pusat Sumber Sekolah di Malaysia?
Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan
ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan cetak semata-mata
(buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi bahan berbentuk
elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV, e-book, audio book,
e-jurnal, newspaper online).
Program dan halatuju PSS tidak boleh lari daripada dua dokumen berikut:
• The School Library Manifesto: The school library in teaching and
learning for all (IFLA/UNESCO 2000)
• The IFLA/UNESCO School Library Guidelines (2002)
Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan
PSS di Malaysia.
7. Apakah jenis-jenis perkhidmatan yang terdapat di Pusat Sumber
Sekolah?
• Perkhidmatan Sirkulasi Bahan
Sirkulasi bahan di sesebuah PSS perlu mengambil kira saiz koleksi,
jumlah pengguna dan keperluan pengguna.
Sirkulasi bahan terdiri daripada:
a. Pinjaman biasa
b. Pinjaman khas
c. Pinjaman berkelompok
Sirkulasi bahan juga boleh dibuat antara PSS / perpustakaan awam melalui
pinjaman antara perpustakaan (inter-library loan) bagi memenuhi keperluan
maklumat pengguna.
• Perkhidmatan Khidmat Nasihat / Rujukan
Khidmat nasihat / rujukan perlu diberi kepada warga sekolah berkaitan
perkara berikut :
• Pemilihan bahan
• Pencarian maklumat
• Rekabentuk, pembinaan dan penggunaan bahan P&P
• Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi
• Perkhidmatan Kesedaran Semasa
PSS perlu menyediakan perkhidmatan kesedaran semasa untuk memaklumkan
kepada warga sekolah berkaitan maklumat atau judul terkini yang terdapat di
PSS.
Perkhidmatan ini boleh disediakan melalui sumber berikut :
a. laman web sekolah / PSS
b. keratan akhbar
c. muka surat kandungan majalah
d. bibliografi beranotasi
e. senarai bahan terkini
f. abstrak dan indeks bahan terpilih
g. pangkalan data bibliografi sumber PSS
h. pameran buku baru
• Perkhidmatan Pendidikan Pengguna
Program pendidikan pengguna perlu disediakan secara terancang dan
berterusan untuk memaklumkan warga sekolah berkaitan program, aktiviti dan
perkhidmatan PSS di samping memberi kemahiran kepada mereka berkaitan
penggunaan kemudahan PSS dan pencarian maklumat.
• Perkhidmatan Papan / Sudut Maklumat
Akses kepada maklumat sekolah / PSS perlu disediakan melalui papan /
sudut maklumat yang ditempatkan di lokasi yang strategik.
• Perkhidmatan Pengurusan Sumber Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan mengikut keperluan dan kemampuan
sekolah. Akses kepada pangkalan data sumber maklumat pelbagai bidang ilmu sama
ada dalam atau luar negara perlu disediakan melalui laman web sekolah atau PSS.
• Perkhidmatan kemudahan bilik / ruang
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pengajaran
dan pembelajaran. Perkhidmatan yang boleh disediakan oleh PSS adalah seperti
berikut :
• Bilik Tayangan / Audio Visual / Multimedia
• Pusat Akses Kendiri
• Sudut Bercerita / Aktiviti
• Sudut / Bilik Perbincangan
• Bilik Rakaman
• Perkhidmatan Reprografi
Perkhidmatan ini disediakan untuk percetakan, memuat turun maklumat
digital dan membuat salinan bahan.
• Perkhidmatan Akses Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk mengakses maklumat menggunakan
kemudahan Internet atau Intranet.
8. Apakah program utama Pusat Sumber Sekolah?
Terdapat dua program utama PSS iaitu program galakan membaca dan
literasi maklumat. Semua aktiviti yang dirancang perlu menjurus ke arah
pelaksanaan program ini.
Bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program PSS diselaraskan,
Surat Pekeliling Ikhtisas berikut perlu dipatuhi dan dijadikan panduan:
a) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/1983: Perpustakaan Sekolah bertarikh
27 Disember 1983
b) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/1988 : Kegiatan Khas Bagi Tahun
Pembaca 1988 bertarikh 20 Januari 1988
c) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca
bertarikh 22 Mei 1998
d) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.10/2000: Tahun Pusat Sumber Sekolah
(PSS) bertarikh 20 April 2000
e) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.12/2001: Gerakan Membaca di
Sekolah-sekolah Melalui Persatuan Perpustakaan Sekolah Peringkat Negeri
bertarikh 19 November 2001
f) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2003: Dasar Penggunaan Media dan
Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran bertarikh 28 Julai 2003.
g) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2005: Memantapkan Budaya Membaca Di
Kalangan Murid Sekolah bertarikh 12 Mei 2005
1. Program Galakan Membaca
Program galakan membaca perlu dilaksanakan kerana budaya ilmu dalam
sesebuah masyarakat dapat dibina melalui amalan membaca yang berterusan.
Bagi memantapkan program galakan membaca, Kementerian Pelajaran Malaysia
melaksanakan pendekatan pembacaan secara terancang melalui program NILAM (Nadi
Ilmu Amalan Membaca).
2. Literasi Maklumat
Program literasi maklumat perlu dilaksanakan untuk menyedia dan
melengkapkan murid dengan kemahiran tertentu yang diperlukan bagi menghadapi
kehidupan sebenar.
Aspek kemahiran yang perlu diberi penekanan dalam literasi maklumat
adalah seperti berikut:
• Pentafsiran maklumat
• Penghasilan produk yang berkualiti
• Pembelajaran kendiri
• Penglibatan secara aktif sebagai ahli kumpulan kerj
• Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara bertanggungjawab
dan beretika
Kemahiran yang menyumbang ke arah pencapaian matlamat literasi maklumat
adalah seperti berikut:
• Kemahiran belajar secara kendiri
• Kemahiran bekerjasama
• Kemahiran merancang
• Kemahiran mencari dan mengumpul
• Kemahiran memilih dan mentafsir
• Kemahiran menyusun dan merekod
• Kemahiran komunikasi
• Kemahiran menilai
Literasi maklumat perlu dilaksanakan oleh GPM dan semua guru mata
pelajaran secara :
• modular
• integrasi / merentas kurikulum
9. Bagaimanakah merancang kewangan di Pusat Sumber Sekolah?
Pengetua / Guru Besar perlu memaklumkan jumlah PCG dan Yuran Khas
Sekolah yang diterima bagi tahun semasa kepada GPM bagi membolehkannya
merancang aktiviti tahunan yang dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah.
Rancangan belanjawan perlu dirancang secara teliti berdasarkan rancangan
pembangunan jangka panjang dan rancangan tahunan PSS. Laporan kewangan tahunan
mestilah mengambarkan penggunaan kewangan PSS dan pencapaian objektif.
Rancangan belanjawan perlu merangkumi komponen-komponen berikut:
• Jumlah kewangan tertentu untuk sumber baru (contoh: buku, majalah dan
bahan bukan bercetak); sejumlah kewangan untuk bahan promosi (contoh: poster)
• Jumlah kewangan tertentu untuk alat tulis dan bahan pentadbiran
• Jumlah kewangan tertentu untuk aktiviti galak guna dan promosi
• Kos untuk kegunaan dan penyelenggaraan peralatan teknologi maklumat
dan komunikasi
10. Apakah sumber kewangan Pusat Sumber Sekolah?
Sumber kewangan Pusat Sumber Sekolah terdiri daripada:
• Geran Bantuan Per kapita (PCG)
• Yuran Khas Sekolah
• Sumbangan PIBG
Geran Bantuan Per Kapita (PCG)
a. Geran Bantuan Per Kapita (PCG) PSS bagi sekolah rendah dan sekolah
menengah ditetapkan oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Panduan dan tatacara perbelanjaan PCG hendaklah merujuk kepada :
• Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Tahun 2010 – Garis Panduan
Pengurusan Kewangan Peruntukan Bantuan Persekolahan Kepada Sekolah Berdasarkan
Per Kapita Murid bertarikh 24 Disember 2010
• Surat Pemberitahuan Ralat SPK Bilangan 8 Tahun 2010 bertarikh 17
Januari 2011
ATAU
• Pekeliling Kewangan yang sedang berkuat kuasa
b. Kadar PCG meliputi perbelanjaan bagi PSS seperti berikut:
• Pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna bagi tujuan pengajaran
dan pembelajaran
• Pembelian buku, perisian dan lain-lain yang bersesuaian untuk
pengajaran dan pembelajaran
• Penyelenggaraan peralatan termasuk komputer yang digunakan untuk
tujuan pengajaran dan pembelajaran
• Program berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada
proses pengajaran dan pembelajaran
• Program Pendidikan Khas Integrasi – Melengkapkan stesen pembelajaran
bagi program pendidikan khas integrasi
• Perolehan / pembelian Harta Modal adalah dibenarkan dengan menggunakan
peruntukan PCG mata pelajaran dan bukan mata pelajaran bagi kegunaan pengajaran
dan pembelajaran
c. Peruntukan PCG bagi tahun semasa perlu dibelanjakan secara optimum
Yuran Khas Sekolah
Yuran Khas Sekolah ialah peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada
sekolah. Sekolah rendah menerima RM 4.50 bagi setiap murid manakala sekolah
menengah menerima RM 9.00 bagi setiap murid. Peruntukan ini digunakan untuk
program dan aktiviti PSS, pendidikan jasmani dan pendidikan seni. Rujuk Surat
Pekeliling Kewangan Bil.3/2008: Peruntukan Yuran Khas Sekolah bertarikh 7
Januari 2008.
Sumbangan PIBG
PSS boleh memohon sumbangan daripada PIBG bagi membangun dan
meningkatkan kualiti perkhidmatan PSS.
11. Bagaimanakah menilai keberkesanan Pusat Sumber Sekolah?
Petunjuk prestasi ialah alat pengukuran yang digunakan untuk memantau
dan menilai pencapaian prestasi.
Petunjuk prestasi yang boleh digunakan untuk memantau dan menilai
pencapaian prestasi PSS adalah seperti berikut:
Petunjuk penggunaan
• Pinjaman oleh setiap warga sekolah
• Jumlah pengunjung
• Pinjaman setiap bahan (contoh: pertukaran bahan)
• Pinjaman setiap waktu operasi (contoh : semasa dan selepas waktu
sekolah)
• Pertanyaan rujukan oleh warga sekolah
• Penggunaan bilik dan peralatan
Petunjuk sumber
• Nisbah koleksi buku untuk setiap murid
• Nisbah komputer bagi setiap murid
Petunjuk kualitatif
• Aduan dan maklum balas pelanggan
• Keceriaan
• Ciri-ciri Keselamatan
Petunjuk kos
• Kos bagi melaksanakan program dan aktiviti PSS
• Kos bagi perolehan bahan daripada jumlah PCG
• Kos bagi promosi PSS
• Kos untuk pembelian hadiah galakan membaca
• Kos untuk pembangunan PSS
• Kos untuk keceriaan PSS
Petunjuk perbandingan
• Perbandingan data penarafan PSS antara sekolah ahli Pusat Kegiatan
Guru
• Perbandingan jumlah penggunaan PSS dan pinjaman bahan antara PSS
Sekolah A dan Sekolah B
2. Apakah dasar Pusat Sumber Sekolah?
Strategi Pelaksanaan Dasar PSS adalah seperti berikut:
4. Apakah peranan Pusat Sumber Sekolah?
6. Apakah halatuju pusat Sumber Sekolah di Malaysia?
1. Program Galakan Membaca
9. Bagaimanakah merancang kewangan di Pusat Sumber Sekolah?
Yuran Khas Sekolah
Sumbangan PIBG
Petunjuk perbandingan