Pada asalnya Kampung Tanjung Sepat adalah
kampung yang terletak di persisiran pantai. Kawasan ini telah diteroka oleh
kaum Asli dari Pulau Mahmeri atas Jakun. Tarikh mereka meneroka kawasan ini
tidak diketahui tetapi diagakkan mereka telah meneroka Kampong Tanjung Sepat
ini semenjak awal-awal lagi sebelum kuam lain datang ke kawasan ini.
Berperahu seludang kelapa,
Lancang layar mengkuang,
Selingkung pulau Mengkabau,
Selilit Pulau Perca,
Johok tanah Johor,
Pagar ruyung panjang tujuh,
Pedang serpuh dua belas,
Pengkalam dagang lima puluh.
Mengikut cerita mulut orang Asli, mereka
berasal dari kepulauan Indonesia. Mereka berperahu datang ke Tanah Melayu. Di
Tanah Melayu mereka mendiami tanah Johor (Negeri Johor). Di Johor mereka
tinggal di satu kawasan di Johor Lama. Untık keselamatan, kawasan perkampungan
mereka telah di pagar dengan nibung. Mereka hidup dalam satu kumpulan. Pada
satu malam mereka ternampak bintang jatuh (mungkin tahi bintang), disebabkan
mereka terlalu takut mereka lari bertempiaran satu kumpulan lari arah darat
(hutan) dan satu kumpulan lari arah laut. Kumpulan yang lari arah darat
dikenali sebagai kaum Sakai dan Semang. Manakala yang lari arah laut di kenali
sebagai kaum Mahmeri atau Jakun.
Dari Johor lama, kaum Mahmeri ini telah belayar
menyusur pantai hingga sampai ke Rengit lalu membuka kawasan baru. Apabila
orang Melayu datang meneroka kawasan Rengit kaum asli ini telah berpindah ke
tempat yang lebih selamat iaitu ke Batu Pahat, mereka tidak lama menetap di
satu tempat. Dari Batu Pahat memeka berpindah ke Melaka, seterusnya ke Lukut,
ke Sepang Besar dan Sepang Kecil. Di Sepang, mereka tinggal di Permanang. Di
Permanang masih terdapat kesan-kesan peninggalan orang asli hingga sekarang.
Dari Permanang mereka berpindah ke Bukit
Bangkong, hingga sekarang mereka masih mendiami Kampung Bukit Bangkong.
Sebahagian dari mereka telah belayar untuk mencari tempat yang lebih sesuai
sehingga sampai ke satu Tanjung. Oleh kerana kawasan ini banyak terdapat ikan
sepat mala tanjung ini dinamakan Tanjung Sepat. Mereka mendarat seterusnya
meneroka kawasan ini untuk dijadikan tempat tinggal. Sebahagian dari mereka
tidak sesuai dengan keadaan perkampungan baru tersebut mereka telah meneruskan
perjalanan mencari tanah yang lebih sesuai hingga sampai ke Telok Gonjeng. Di
sini mereka tinggal di Sungai Bumbun, Sungai Judah dan Sungai Rambai. Setelah
orang Inggeris membuka tanah Telok Gonjeng untuk di jadikan ladang, orang
Inggeris telah menukar nama Telok Gonjeng dengan nama Pulau Carrey.
Penubuhan
Kampung Tanjung Sepat Darat.
Pada tahu 1930 an satu kumpulan orang
Melayu yang berasal dari Kampung Api-Api Kuala Selangor dan juga orang Melayu yang
datang dari Kampung Batu Laut telah datang meneroka kampung Tanjung Sepat Darat
yang terletak kira-kira 1.5km dari kampung Tanjung Sepat Laut yang didiami oleh
orang Asli. Pada tahun 1940an
satu kumpulan orang Melayu keturunan Jawa
yang berasal dari Kampung sekitar Tanjung Sepat Darat seperti dari Kampung Kundang,
Kampung Batu Laut dan dari Kampung Bukit
Bangkong telah meneroka kawasan tanah yang belum diteroka.
Kedua-dua kumpulan peneroka ini telah
membangunkan Kampung Tanjung Sepat. Ramai dari orang-orang Melayu yang datang
dari Kampung Api-Api telah menjualkan tanahnya lalu pulang ke Kampung Asli
mereka. Penduduk kampung telah melantik Encik Misron bin Mohd Taib sebagai
ketua Kampung mereka, Di atas usaha gigih Encik Misron dan anak buahnya, mereka
telah membangunkan kampung Tanjung Sepat Darat. Mereka telah membina surau
sebagai tempat ibadat dan juga tempat mereka berkumpul dan bermesyuarat.
Zaman
Jepun dan ancaman pengganas Komunis
Pada tahun 1942 Jepun telah menakluki Tanah
Melayu, Jepun telah memerintah Tanah Melayu sehingga tahun 1945 selama 3 tahun
8 bulan. Di zaman pemerintahan Jepun terdapat berbagai-bagai pertubuhan
menentang pemerintahan Jepun di antaranya ialah A.P.I (Angkatan Pemuda Insap)
M.P.A.J.A, Parti Kominis Malaya dam lain-lain pertubuhan. Semuanya berjuang
untuk menyingkirkan kuasa pemerintahan Jepun.
Pada tahun 1945 Jepun telah menyerah kalah
se telah bandar Hirosyima dan Bandar Nagasaki dibom oleh tentera berikat dengan
bom Atom. Setelah Jepun menyerah kalah, sebelum Inggeris berkuasa semula tiada pemerintah
di Tanah Melayu. Bintang Tiga telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam
ke- pada sesiapa yang disyaki membantu Jepun di zaman Jepun telah dibunuh.
Sebelum dibunuh mereka telah diseksa dahulu, mereka telah diikat di persimpangan
jalan dan sesiapa sahaja yang lalu di situ disuruh membaling dengan batu dan
ada di antaranya diseksa dengan ditanam paras kepala dan ditinggalkan begitu
sahaja.
Seminggu kemudian barulah wujud
pemerintahan tentera B.M.A (British
Military Act) dan seterusnya kerajaan Inggeris berkuasa semula. Kerajaan
Inggeris telah menubuhkan Malayan Union yang mana dasar Malayan Union amat
merugikan orang Melayu. Orang Melayu telah bersatu dan menubuhkan Parti UMNO
(Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) di Johor Baharu. Melalui UMNO orang
Melayu menentang kerajaan Inggeris, Akhirnya pada 1hb Februari 1948 kerajaan
Inggeris telah membatalkan Malayan Union dan menggantikan dengan Persekutuan Tanah
Melayu.
Pada Tahun 1948 parti Komunis Malaya telah mengisytiharkan
penentangannya terhadap kerajaan Inggeris. Mereka mengancam keselamatan awan.
Seluruh Negara di isytiharkan Darurat. Komunis bergerak di mana-mana sahaja termasuk
di Kampung Tumbuk dan juga Kampung Tanjung Sepat. Pada tahun 1950 Sir Henry Gurnry,
Pesuruh Jaya Tinggi Tanah Melayu telah dibunuh oleh komunis semasa dalam perjalanan
ke Bukit Fraser.
Pada tahun yang sama Jeneral Sir Giral
Templer telah dilantik menjadi Pesuruh Jaya Tinggi Tanah Melayu yang ke Tiga.
Untuk mengurangkan komunis, beliau telah mengambil langkah dengan menepatkan
mereka-mereka yang disyaki membantu komunis atau yang terdedah dengan ancaman
komunis ditempatkan di satu kawasan berpagar. Orang-orang Cina yang tinggal di
kampung-kampung seperti Batu Laut, Tumbuk, Tanjung Layang dan juga Tanjung
Sepat telah ditempatkan di satu kawasan penempatan baru iaitu di pekan Tanjung
Sepat sekarang, manakala penduduk Tumbuk telah diperintahkan berpindah ke
tempat lain kebanyakannya balik ke kampung asal mereka.
Setelah darurat tamat pada tahun 1962
sebahagian dari penduduk Tumbuk telah kembali ke kampung asal mereka sebahagiannya
menetap di mana mereka tinggal masa darurat.
Se
jarah Penubuhan Sekolah Kebangaaam Tanjung Sepat
Sekolah Melayu Tanjung Sepat telah
diasaskan pada tahun 1948 oleh encik Misron dan anak buahnya, Pada asalnya
mereka menumpang di bangunan surau. Murid yang belajar ketika itu seramai 25
orang murid lelaki dan perempuan diajar oleh Encik Miswan bin Ramli kemudian
digantikan oleh Encik Yusuf bin Mohye. Pelajaran yang diajar hanya menulis,membaca
dan mengira.
Penubuhan sekolah ini atas kesedaran penduduk
kampung yang tidak mahu melihat anak-anak mereka tiada mempunyai pelajaran.
Pada lantikan itu ramai di antara anak-anak penduduk kampung Tanjung Sepat tidak
bersekolah kerana mereka terpaksa bersekolah di sekolah Melayu Batu Laut atau
Sekolah Melayu Tumbuk yang jauhnya kira-kira 4 batu. Walaupun jauhnya sekadar 4
batu tetapi pada ketika itu tidak ada jalan perhubungan. Jalan yang
menghubungkan kedua-dua kampung sekadar lorong kecil (denai) yang dipanggil oleh
penduduk setempat sebagai lorong tikus. Keadaan lorong tersebut lecah dan
melalui pinggir hutan.
Perkembangan
Sekolah
Setelah menumpang di bangunan surau, pada
awal tahun 1950 penduduk kampung telah bergotong royong membina sebuah bangunan
yang panjangnya 30 kaki dan lebarnya 20 kaki. Bangunan ini dibina di tanah kerajaan.
Dibuat daripada kayu-kayu bulat yang banyak terdapat di pinggir kampung dan
beratapkan rumbia. Pembinaan bangunan sekolah ini bagi mengatasi masalah murid
belajar di surau terutama bagi murid perempuan.
Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan
kerajaan dan usaha untuk mendapatkan guru kerajaan yang terlatih terus di laksanakan,
Sebelum pihak kerajaan memberi pengiktirafan dan menempatkan Guru, pihak kerajaan
(Jabatan Pelajaran Selangor) telah meminta penduduk membina bangunan sekolah
yang lebih sempurna.
Pada bulan Mei 1951 penduduk kampung
bergotong royong membina bangunan sekolah baru di sebidang tanah kepunyaan
Encik Senat bin Marzuki. Bahan binaan seperti tiang diperolehi dari Sekolah Melayu
Tumbuk yang terpaksa ditutup kerana penduduk Tumbuk di arahkan berpindah ke
tempat lain bagi mengelakkan ancaman komunis. Bangunan baru telah siap dan mula
digunakan pada bulan Ogos 1951 dengan bilangan murid seramai 43 orang.
No comments:
Post a Comment